col Me

Ahad, 13 November 2011

13 Tahun Mencari Cinta ( part 3)

sambungan part 2.................

Kemudian, kami berhubung seketika di Yahoo Messenger (YM) untuk mengelakkan cakap-cakap pelik daripada kawan-kawan di sekeliling kami. Kami hanya bercakap tentang perkembangan diri masing-masing selepas terpisah dulu, bidang fotografi (dia Canon, saya Nikon) dan juga tarbiah yang kami ikuti. Syukurnya saya. Telahan saya mengenainya memang tidak salah. Saya dapat 'membaca' siapa dan bagaimana orangnya pada waktu itu.

*Tapi disebabkan saya ini memang tidak suka ber-YM, maka tidaklah lama dan sekerap mana kami online bersama. Saya sibuk. Sekalipun kami online bersama, tiba-tiba saja saya sudah tertidur di tepi laptop saya. Esoknya cuba untuk menebus kembali kesalahan, tetapi tertidur juga sekali lagi. Bukankah kasihan dirinya ditinggalkan begitu saja? Huhu. Memandangkan di penghujung Mei tahun lepas kakak saya bakal mendirikan rumah tangga, sebagai salah seorang junior kepada Kaklong, Thaariq turut dijemput hadir. 30 Mei 2010. Itulah tarikhnya. Dia menghadiri walimah Kaklong.

And I have no reason to say no to what I have seen.

*Saya kekok pada mulanya. Nasib baik ketika saya dipanggil oleh sahabat baik saya, Mahfuuzah, bahawa dia telah sampai, dia sedang berada bersama-sama kelompok kawan-kawan Al-Mukmin yang lain. Saya menghampiri mereka dan di situlah saat kami bertemu semula selepas 13 tahun terpisah tanpa khabar berita. Tangan terasa seram sejuk. Aik aik. Kenapakah? Dia pula berpeluh-peluh. Ok, bawah khemah tu memang panas pun. Huhu. Selepas kami semua ex-Al-Mukmin bergambar beramai-ramai bersama pengantin, kebanyakan daripada mereka beransur pulang. Kebetulan waktu itu tetamu sudah pun berkurangan. Sudah mencecah 4 petang. Saya membawa Thaariq duduk di bawah khemah berhampiran kipas.

*Kami berbual-bual berkaitan diri masing-masing dan perkembangan terkini. Sangat jelas, pada waktu itu saya langsung tidak mengangkat muka kerana takut dan malu untuk menatap mukanya. Kalau boleh, rasa nak pakai purdah sorok muka sendiri. Saya tidak tahu apa yang bermain di fikirannya pada waktu itu. Saya memberitahu emak dan ayah akan kehadiran Thaariq ke majlis itu. Emak dan ayah masih cam akan dirinya. Dalam ingatan ayah, dia diingati sebagai 'anak Khairudin'. Hehe.

*Melihatkan reaksi emak dan ayah, hilang sedikit kecuakan saya berada dengannya di situ. Hampir jam 4.30 petang, saya menghantarnya menuju ke keretanya yang diletakkan di bawah bukit rumah saya. Sebelum berlalu pergi, dia menyerahkan satu token kepada saya. Keychain daripada Dubai tempat gambar bintang-bintang yang dihadiahkan kepada saya dulu.
Malam itu saya sangat penat. Saya terbayang-bayang kejadian di petang kenduri itu. Saya ingat setiap apa yang kami bualkan. Saya ingat riak wajahnya yang tenang. Saya ingat saat-saat saya menemaninya turun bukit untuk menghantarnya ke kereta. Tiba-tiba, telefon saya berbunyi. Saya melihat tiga orang sepupu lagi yang bermalam di bilik saya. Semua sudah tidur. Barulah saya menjawab panggilan tersebut. Iya. Thaariq yang menelefon. Ucapnya satu.
"Saya nak kita bukan sekadar kawan. Tapi dengan syarat..."
Syaratnya membuatkan saya terdiam seketika. Saya pohonkan masa untuk berfikir. Semuanya bagaikan renjatan elektrik. Terkejut saya dibuatnya. Semuanya sekelip mata. Saya terlalu penat ketika itu. Tidak boleh berfikir dengan rasional. Jadi saya tinggalkannya dengan soalan yang tidak berjawab. Keesokannya saya sibuk di majlis bertandang di rumah Abang Hashim. Keesokannya pula saya sudah mula oncall dan kembali sibuk di hospital. Dalam pada sibuk-sibuk itulah, saya bawa berbincang dengan sepupu terapat saya, Nisa. Kebetulan kami bekerja di wad yang sama pada waktu itu. Syaratnya itu munasabah. Dan jika ikhlas niat, semuanya adalah tidak mustahil. Apa syaratnya? Ehem. Biarlah kami saja yang tahu.

*Untuk seketika, kami sering juga berbalas mesej. Sehinggalah pertengahan bulan Julai itu, saya rasa serba tidak kena. Saya rasa ini bukan diri saya. Tambahan pula, dia masih lagi terikat dengan program Master-nya dan saya terikat dengan housemanship saya. Kami pernah berbincang serba ringkas tentang hala tuju masa depan. Yang saya lihat, paling cepat satu kata putus dapat dicapai mengambil masa hampir 2 tahun lagi. Langsung saya menghantar mesej kepadanya. Pinta saya hanya satu : Jangan contact saya kalau rasa belum sampai masa untuk kawin. Kalau dah sedia, baru cari saya semula.
Saya nekad berbuat begitu. Saya tidak mahu berhubung secara sia-sia tanpa arah tuju yang betul-betul nyata. Saya tidak mahu maksiat menjadi penambah rasa. Dia bersetuju. Kami sepakat untuk tidak berhubungan. Dan dalam tempoh itu, betapa hanya Allah yang tahu kuatnya mujahadah yang perlu dilalui.Baik saya mahupun dia. 

*Remuk redam jugalah rasa hati ni. Tapi bertahan. Bertahan. Bertahan. Hehe. Dia juga bergitu. Status-status separa pilu kelihatan di Facebook tapi tiada siapa yang tahu apa yang terjadi sebenarnya. Saya pula lebih banyak berkias dalam entri-entri saya di sepanjang bulan Julai dan Ogos tahun lalu. Dan dalam tempoh itu jugalah ada 3 lamaran datang dalam hidup. Aduhai. Penambah perisa betullah. Tapi saya sudah nekad. Saya hanya menunggu dia. Dulu 13 tahun saya boleh menunggu, takkanlah sekadar 2 tahun lagi saya sudah tidak sanggup, kan.
Siapa sangka, sebenarnya apa yang saya nekadkan itu menjadi batu loncatan untuk segalanya. Saya masih ingat, hari itu hari Sabtu, minggu pertama di bulan Septembar, minggu terakhir kita berpuasa. Saya oncall di wad kanak-kanak. Ayah datang sekitar jam 10 malam membawa makanan berbuka untuk saya. Iya. Saya masih belum berbuka dengan makanan berat pada waktu itu. Sekadar minum air dan mengunyah gula-gula Mentos sebiji. Ayah datang bukan sekadar membawa makanan. Tetapi juga sebuah bungkasan pos yang baru tiba pagi tadi di rumah. Di alamatkan kepada saya. Sambil makan saya terus membukanya. Dan kandungan bungkusan kecil itu buat saya berdebar-debar apatah lagi pengirimnya ialah dia.



*Apabila ayah sudah balik, saya menghubunginya. Saya memaklumkan bahawa saya sudah menerima bungkusan tersebut. Tiba-tiba dia terus menghubungi saya. Dalam teragak-agak, dia memaklumkan bahawa pada Hari Raya ketiga insya Allah dia dan keluarga hendak berziarah ke rumah saya. Saya terdiam di situ. Dalam hati ada dua tanda tanya: Ziarah raya atau ziarah bermakna? Tapi mulut saya tak terluah hendak bertanya. Saya memaklumkan kepada emak dan ayah.
Dipendekkan cerita, pada hari raya ketiga itu, tibalah mereka sekeluarga ke rumah saya. Tahu apa perkara pertama yang diraikan?
Pertemuan semula dua kawan lama; ayah saya dan juga ayahnya. Subhanallah. Bagaikan telah berjanji, tujuan utama ziarah keluarganya yang agak samar bagi pihak saya bertukar kepada perbincangan tentang pernikahan kami berdua pula. Saya yang turut berada di situ terasa panas muka secara tiba-tiba. Memang sangat terkejut. Ditambah pula dengan usulan supaya kami bertunang dalam masa dua bulan saja, menambahkan keseriauan yang saya rasa. Saya mencuri pandang wajahnya pada waktu itu. Tenang saja. Dalam hati saya berkata: Ish, dia ni. Dia tak ajak pun kawin lagi, tak tanya pun kita lagi, tup tup mak ayah masing-masing dah bincang pasal tunang-nikah. 

*Selepas selesai kata putus dicapai, mereka sekeluarga meneruskan perjalanan pulang ke Batu Pahat. Waktu itu baru saya menghubunginya. Mesej saya berbunyi: Betul ke kita dah nak tunang ni? Tak lama lepas tu terus kawin? Awak tak pernah pun ajak saya kawin? Balasnya: Insya Allah ni yang terbaik untuk kita.
Subuh 1 Oktober 2010, dia melamar saya untuk menjadi isterinya.
Pada mulanya majlis pertunangan dirancang dilaksanakan lebih awal tapi disebabkan dia terpaksa menghadiri konferens di Hanoi, majlis dibawa ke bulan November. Pada 13 November 2010, majlis pertunangan yang sederhana telah berlangsung di rumah saya. Hanya saudara mara rapat saja yang menghadirinya. 

*Tarikh dan majlis perkahwinan turut ditetapkan pada hari itu. Tempohnya 4 bulan saja. Dan apabila sudah bertunang inilah baru kami mula berhubungan semula untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan perkahwinan kami. Jika perlukan perbincangan panjang, kami hanya berhubung melalui email saja. Lebih banyak yang boleh dibincangkan di situ. Dan sejak kami bertemu semula di dunia maya pada 4 Jun 2009 yang lalu sehinggalah kami bernikah pada 12 Mac 2011 yang lalu, kami hanya pernah bertemu muka sebanyak 7 kali, dan semuanya ditemani oleh keluarga atau adik beradik kami.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan