col Me

Ahad, 13 November 2011

13 Tahun Mencari Cinta ( part 4)

 sambungan part 3.........................

Cerita Versi Thaariq
Selepas tamat UPSR, dia bersekolah di Al-Amin Gombak. Sejak itu, dia hanya pulang ke Temerloh bila cuti tiba saja. Dia juga mencari-cari saya. Dia tahu di mana letaknya kedai fotostat milik ayah saya dulu. Pernah dia terfikir, hendak pergi mencari saya di sana. Bila dia ke sana, saya tiada pula. Kecewa dia, katanya. Pernah juga dia berangan, ketika berjalan-jalan mencari barang di Pekan Sehari Ahad (lebih dikenali dengan nama Pekan Sari di sini), dia hendak terjumpa dengan saya. Katanya, antara ramai-ramai rakan sekelas dulu, saya yang paling terkesan dalam memorinya. Pernah saja dia terserempak dengan kawan sekelas kami yang lain, tetapi tidak saya.

*Ketika zaman Friendster sedang memuncak, rupa-rupanya dia juga pernah mencari saya. Tapi tidak menjumpai apa-apa. Dia juga pernah meng-google nama saya. Tapi tidak jumpa barang satu informasi pun mengenai saya. Kemudian dia pun sudah tidak meneruskan usaha sehinggalah saat saya meninggalkan komen di blognya itu. Saya masih menyimpan email yang dikirimnya. Subhanallah. Tajuknya saja sudah menunjukkan betapa terujanya dia. Hehe. Belum lagi membaca kandungan email-email tersebut.
*Sejak berhubung semula di Facebook, dia suka melihat gambar-gambar saya sepanjang di Moscow dulu. Katanya, saya comel. Huhu. Macam kelakar saja bunyinya. Apa yang buat dia tertarik ialah gambar saya berbaju kurung serba biru ketika menghadiri majlis di Al-Mukmin yang tidak dapat dihadirinya dulu. Dan dari situ dia mula menggunakan Bahasa Rusia di Facebooknya yang ditirunya bulat-bulat daripada sebuah lawan web. Huhu. Berusaha keras sungguh dia.  Jika saya membalas dengan ayat yang panjang sedikit, mulalah dia tak tahu di mana hendak mencari maksudnya. 

*Comel betul! Yang mendekatkan kami ialah ayatnya: Mnye by khatelos uznat o tebye po bolshe. Ada yang faham maksudnya?
Sewaktu hendak menghadiri walimah Kaklong, rupa-rupanya dia sudah memberitahu uminya bahawa dia hendak melihat saya. Ohoo~ Yang ini saya pun baru sangat tahu. Dan apabila sudah berjumpa sendiri dengan saya, katanya, dia sudah tiada ragu dalam hatinya. Dan apabila melihatkan perbincangan emak ayah dengan umi baba sangat lancar, dia jadi bertambah yakin. Katanya, dia takkan membiarkan 13 tahun menjadi lebih lama.
Dan selepas 13 tahun mencari cinta, di sinilah kami ditemukan semula. Dalam ikatan sebagai suami isteri yang sah,
Alhamdulillah.



Cerita Versi Kami
Selepas berkahwin, saya menunjukkan kepadanya sebuah diari lama. Tahun 1997. Sebenarnya bukanlah sebuah diari. Itu buku yang saya kumpul biodata kawan-kawan. Tapi bila sudah tidak digunakan, saya jadikannya untuk mencoret aktiviti harian pula di mukasurat yang masih kosong. Sebenarnya saya pun baru terjumpa semula diari lama ini. Dan saya kongsikan kandungannya dengan suami. 

*Diari itu penuh dengan catatan harian saya bermula daripada 20 November 1997 sehinggalah penghujung Disember 1997. Kisah bagaimana saya takut kehilangan seorang kawan bernama ATMK. Kisah bagaimana saya tercari-cari di mana ATMK.
Dan sejujurnya, selepas tamat SPM, saya ada menulis sebuah buku catatan baru. Dalam buku itu saya ada menyenaraikan 10 wishlists saya untuk masa depan. Tertera dengan jelas di situ, hajat saya yang ke-10 dalam senarai ialah INGIN MENCARI ATMK SEMULA.
Selepas saya bacakan padanya beberapa keratan daripada catatan-catatan yang ada, tiba-tiba muncullah satu kata-kata yang paling tak tahan untuk dibaca, yang telah saya tulis ketika berusia 12 tahun. Tabah adalah akhlak yang mulia.

*Selepas membaca coretan-coretan itu, dia berkata: Ada hikmah Allah temukan kita semula selepas terpisah 13 tahun. Sebab bila kita berjumpa semula, kita sudah bersedia untuk bernikah, bukan setakat berkawan saja. Siapa sangka, Abang akan berkahwin dengan kawan baik Abang sendiri.
Ya. Saya juga tidak menyangka 13 tahun saya mencari cinta saya, rupanya dia ialah kawan baik saya sendiri yang terpisah lamanya.
Terima kasih Ya Allah atas anugerah ini!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan